Sunday, 21 April 2013

KISAH SEORANG IBU TUA


Petang itu seperti petang-petang kelmarin....seorang ibu tua sedang tegar menunggu di muka pintu.Sesekali mata tuanya memandang sekilas ke laman yang sepi sesepi hatinya itu.Redup kelopak matanya menahan kerinduan pada anak-anak yang tak kunjung datang.Sesekali matanya melihat jam di dinding seolah-olah tidak bergerak itu.Kasihan nasib ibu tua itu.Terbiar meratap kerinduan yang tak kunjung padam pada anak-anaknya yang ramai itu.Tanpa disedari air mata menitis perlahan ke pipi tua yang berkedut seribu.Ingin diluahkan perasaan hati namun pada siapa....

  Sering terimbau diingatannya suatu waktu dahulu.Bingit suasana rumahnya dengan hilai tawa anak-anak dan cucu-cucu yang ramai itu.Dahulu ramai anak-anaknya kerap pulang menjenguknya.Setiap kali kepulangan mereka pasti rumah yang tersergam itu bagaikan mengadakan kenduri.Riuh bingit namun amat menyeronokkannya.Apa tah lagi bila Aidil Fitri menggamit tiba....suasana begitu membahagiakan.Ibu tua bangga kerana semua anak-anak dan cucu-cucunya berjaya dalam hidup.Berjaya dalam kerjaya masing-masing.Walaupun arwah suaminya sudah lama pergi namun kesunyian seolah tak pernah wujud dalam kamus hidupnya.Setiap minggu ada saja anak-anak yang datang.Betapa bahagia dan bangga rasanya.

   Namun kenapa sejak akhir-akhir ini nasibnya sedemikian rupa.Di saat usia tuanya dan ditambah keadaan kesihatan yang selalu uzur dan tidak berdaya....tiada seorang pun yang sudi menjenguknya.Namun ibu tua masih bersyukur kerana masih ada anak menantu yang pernah dibenci dan disakitinya sanggup menjaga makan pakai...malahan merawat kesihatannya yang semakin hari semakin uzur itu.Allah jua yang menunjukkan segala hikmahNya pada hari ini.Ya Allah....ampunkan hambamu ini...selalu doa kudus itu yang dipohon olehnya....

   Matanya yang semakin kabur dek usia yang semakin lanjut dilemparkan ke laman lagi.Mana tahu kalau-kalau ada salah seorang anak-anaknya yang balik menziarahinya.

   "Mak...masukle ke dalam...hari dah senja.."suara tenang menantu memecah kesunyiannya.Matanya menatap wajah menantu yang begitu banyak berkorban untuknya.Di gagahnya untuk berdiri namun tidak berkemampuan.Menantu memapahnya perlahan-lahan.Di matanya yang layu terukir senyum kasih buat sang menantu biarpun hatinya masih berpaut pada kerinduan.Kerinduan yang entah bila akan terlerai......Kasihan nasib si ibu tua .

~~~selingkar kisah seraut perasaan~~~


Gambar: Mai

Gambar: Mai

No comments:

Post a Comment