Tuesday, 30 April 2013

BILA RAMADHAN DATANG LAGI


Seperti tahun-tahun yang lampau...bila Ramadhan datang lagi...berbagai perasaan yang singgah di benakku. Terimbau kenangan silam. Terlukis peristiwa pahit manis yang pernah aku lalui dahulu. Tidak kira semasa kanak-kanak..remaja..zaman persekolahan mahupun semasa bersama keluarga tercinta.

Seperti tahun-tahun yang berlalu...bila Ramadhan datang lagi...semacam ada rasa gembira yang wujud menjengah hatiku. Bulan penuh berkat ini perlu diisi dengan segala perbuatan dan amalan yang berlipat ganda demi menambah pahala dan keberkatan daripada ILLAHI.

Sudah enam belas tahun aku menjadi isteri dan ibu kepada anak-anakku. Bermakna sudah selama itu jugalah aku menyambut Ramadhan bersama keluarga yang amat aku sayangi. Demi suami dan anak-anak ...aku tabah menempuhi segala macam dugaan yang datang sepanjang Ramadhan....apa tah lagi setelah ketiadaan ibu dan ibu mertuaku...aku melayari kehidupan berkeluarga tanpa adanya 'ibu'.Namun aku masih bersyukur kerana masih ada lagi ayah mertua yang dapat mengisi dan memenuhi kasih seorang ayah kepada aku...menantunya dan suami serta ipar duaiku.

Aah!....terlalu bahagianya bila mengenangkan Ramadhan yang hadir ketika aku bersama kakak-kakakku ..adik-adikku dan ibu bapaku. Setiap kali Ramadhan tiba..bapa selalu menyediakan segala macam keperluan yang sepatutnya tanpa memikirkan kemampuannya. Ada-ada saja yang disediakannya tanpa ada kekurangan walaupun sedikit. Walaupun kami tidak kaya dan semewah mereka tetapi apa saja keperluan tetap cukup di sepanjang bulan mulia itu.Bapaku memang seorang yang terlalu mengambil berat perihal kewajipannya sebagai ketua keluarga. Beruntung ibuku kerana mempunyai suami yang perihatin sebegitu rupa. Sebut saja...cakap saja apa menu untuk juadah berbuka pasti akan ditunaikan oleh bapa. Cuma bapa tidak mahu juadah itu hasil tangan orang lain kecuali ibuku saja. Di dalam bab-bab masakan dan makanan hanya ibulah saja yang menyediakannya...aku cuma membantu setakat yang boleh. Begitu jugalah dengan ketga-tiga orang kakakku.

Dan saat yang paling menggembirakan ialah pabila sampai waktu untuk berbuka. Kami beramai-ramai menyediakan meja hidangan dengan air minuman..buah-buahan pembuka puasa dan makanan yang pelbagai dan beraneka jenis...emmm lazatnya. Begitulah sepanjang hari ketika Ramadhan datang saban tahun. Dan yang paling tidak dapat aku lupakan ialah bila saat-saat Syawal menghampiri...Kami sekeluarga bergotong royong menyempurnakan persiapan terakhir menjelang Syawal.

Ada yang membersihkan laman...ada yang membersihkan rumah...yang sibuk membuat kuih muih pun ada...segalanya bagai mengikut jadual. Pada hal segala yang dilakukan adalah kerana tanggungjawab masing-masing yang tertanam semasa kecil lagi. Semua itu tidak pernah terencana tapi datang dari diri sendiri. Aah...semua itu kerana bapa selalu mengajar kami erti bersih dan melaksanakannya sepenuh hati.

Kini suasana sebegitu semakin menjauh dan terus menjauh. Tidak boleh terundur walaupun setahun...Yang lalu adalah kenangan yang pernah aku lalui dan tidak mungkin akan berulang semula.

Kini Ramadhan yang datang ...aku sebagai seorang ibu tidak mampu melakanakan apa yang pernah aku lakukan suatu waktu dahulu. Walaupun aku selalu mengutamakan kebersihan kepada anak-anak tetapi anak-anak tidak dapat menyempurnakan sebaik mungkin.

Ramadhan yang hadir dalam masa seminggu saja lagi ini aku harap dapat menginsafi lagi hati kami sekeluarga untuk terus mensyukuri segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kami . Walaupun kami tidak semewah mereka...namun berikan kemewahan hati kami untuk terus menikmati nikmat dan rahmat MU Ya Allah.



No comments:

Post a Comment