Wednesday, 24 April 2013

CATATAN BUAT PUTERI DAN PUTERA KEMBARKU


 

  Sudah lima belas tahun masa berlalu pergi. Sepantas itu juga aku rasakan akan keremajaan anak-anak kembarku. Tanpa disedari aku semakin dimakan usia. Sedangkan anak-anak kembarku baru merasai kehidupan di awal keremajaan mereka. Masih baru menerokai alam remaja...alam yang paling manis buat semua yang telah melaluinya..Termasuk aku..suami..malahan sesiapa sahaja.

          Kalau lima belas tahun yang lalu..terasa begitu perit melahirkan kalian. Kini keperitan itu bagaikan hilang dibawa arus detik yang berganti saban hari. Kesakitan dan kepayahan melahirkan kalian kini lenyap bila melihat senyuman..gelak tawa..malahan mesranya kalian tatkala ingin bermanja denganku.

          Adik dan Abang...begitulah gelaran yang amat sinonim dengan kalian. Adik yang lahir lebih awal dua puluh lima minit daripada abang sepatutnya adalah kakak. Namun adat menurut kata orang-orang tua..yang lahir kemudian kononnya "mengalah" dan mahu si adik yang melihat dunia terlebih dahulu ...jadi terpaksalah aku dan suami akur. Jadilah seperti sekarang..Syuhada dipanggil adik dan Haikal pula digelar abang.

          Setelah kelahiran kalian, demi melihatkan kesihatan kalian yang tidak menentu ,jadi aku terpaksa berhenti kerja. Satu keputusan yang amat sukar untuk kulakukan . Demi tidak mahu menyusahkan emakku mahupun emak mertuaku aku pasrah dengan ketentuan Ilahi. Tidak sanggup aku melihat orang tua menjaga anak-anak kembar yang waktu itu selalu tidak sihat kerana kelahiran mereka yang tidak cukup bulan. Mana tidaknya...jika seorang tidak sihat ...yang seorang lagi mengikut sama. Keadaan demikian juga membuatkan orang yang ingin mengasuh mereka tidak mahu meneruskan niatnya. "Susah nak jaga anak kembar ni" masih terngiang-ngiang kata-kata Kak Yah pada pagi itu. Lalu aku ambil keputusan untuk mengasuh mereka tanpa menyerahkan kepada orang tua. Itu tidak adil namanya. Sudahlah mereka penat membesarkan kita...tidak mungkin kita lagi sekali membebankan mereka dengan menjaga anak-anak kita pula. 

          Semenjak itu aku telah menjadi suri rumah tangga sepenuhnya.Seperti hari ini.Cuma hari ini anak-anak semakin membesar jadi tiada terasa bebanan apapun kini.

.....Namun sesekali aku terasa hati dengan mereka yang selalu menghina..mencerca.. malahan mempertikaikan kenapa aku berhenti kerja.Tanpa mengetahui perjalanan hidupku sendiri, mereka malahan tanpa keraguan telah mempersoalkannya. Tidakkah mereka sedar bahawa segalanya itu adalah ketentuan Allah. Kita hanya merancang namun Allah yang menentukan semuanya. Sedarlah dunia ini hanya pinjaman. Wang ringgit..harta dan kekayaan kita Allah yang memberinya.....

          Dan itu jualah yang selalu aku pesan kepada anak-anakku. Keremajaan mereka membawa bersama pemikiran yang semakin berkembang.

          Hidup tidak sunyi daripada segala permasalahan.Kekadang adik atau abang selalu bertanya kenapa raut wajahku sesekali muram....Ah! Bangganya hati seorang aku bila ada anak-anak yang mengambil berat akan diriku. Ada masa dan ketikanya seperti anak-anak orang lain, mereka saling berselisih faham tapi akhirnya bersalam dan bermaaf-maafan.Mudah-mudahan ianya berlanjutan hingga ke masa akan datang. Amin.

          Buat anak-anak kembarku....sebelum kututupi tirai coretan ini...ingatlah selalu apa yang telah kupesan sebagai azimat di masa akan datang. Perjalanan hidup kalian masih panjang. Tinggikan martabat hidup kalian dengan amalan yang terpuji. Peganglah amalan hidup kalian dengan agama yang murni ini. Tingkatkan prestasi kalian dengan ilmu pengetahuan....Jadikanlah hidup kalian di antara insan-insan yang berbakti kepada agama..orang tua( ibu dan ayah )..masyarakat dan negara    
amnya. Junjunglah nilai-nilai terpuji berbekalkan ketaqwaan kepada Ilahi.










No comments:

Post a Comment