30hb. Jun 1992....satu tarikh yang tidak mungkin aku lupakan sepanjang hayat di kandung badan. Bukan mudah melenyapkan segala kenangan yang wujud antara aku dan ayah...juga emak yang melahirkan dan jua adik beradikku yang seramai enam orang itu. Mungkin aku banyak berdosa kepada ayah yang membuat sering mindaku berkisar kepada sejarah lama.Kenangan silam.....Pun begitu tidak pernah terlintas di hati ...ingin menderhaka kepada orang tua yang merupakan tunggak keluarga aku.
Ayah....walau apa gelaran sekalipun...ayah tetap cahaya hidup kami...anak-anakmu. Tidak perlu aku mengusir rindu yang bersarang di jiwa ini. Sudah sembilan belas tahun ayah pergi meninggalkan aku...pergi menyahut seruan Illahi. Pergi yang tidak akan kunjung datang. Pergi buat selama-lamanya.
~~Seingat aku sewaktu bersekolah rendah...ayah menyediakan segala keperluan persekolahan seadanya. Aku tahu ayah bekerja berat sebagai buruh di tapak perlombongan. Dengan rezeki yang sedikit itulah ayah membesarkan aku dengan kakak-kakak seadanya. Namun kami tidak merasa kekurangan apa-apa. Selalu di hujung minggu ayah akan berbelanja besar untuk menggembirakan kami dengan juadah makan tengahari yang agak mewah masa tu. Ahh...sebagai seorang ayah....ayah tidak lokek untuk emak dan kami anak-anaknya. Itu yang aku pasti .
Aku yang sewaktu bersekolah rendah begitu bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajaran di rumah.Tanpa dipinta aku tetap membaca buku-buku pelajaran di beranda rumah kampung asal kami. Kadang-kadang aku tertidur pabila penat membaca di waktu petang...Dan ayah pasti mendukung aku atau memangku aku untuk lena di atas katil. Terasa betapa hangatnya kasih sayang ayah terhadap anaknya.Aku bangga mempunyai ayah sebegitu.
Setiap kali aku berjaya mendapat tempat teratas di dalam kelas bila keputusan peperiksaan diumumkan...ayah akan membelikan cenderamata kepada aku. Cuma kekadang aku agak terkilan kerana ayah memanjakan kakak pertama dan ketigaku. Selalu mereka mendapat apa yang mereka hajati walaupun keputusan peperiksaan mereka tidak membanggakan. Namun sebagai seorang adik aku akur akan perkara sedemikian.
Ayah memang seorang yang panas baran. Kemarahannya bertempat.Ini menjadikan aku takut jika ingkar akan kemahuannya. Aku tahu ayah agak kecewa bila aku menolak untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektrik sebagai mana yang diharapkan. Naluriku bukan bidang elektrik. Aku berkeras mahu meneruskan pelajaran ke tingkatan enam....sesuatu yang tidak dipersetujui oleh ayah. Aku ingkar dalam perkara ini...apa yang berlaku semuanya ketentuanNya.
Seperti manusia biasa kita hanya merancang...aku tau aku amat mengecewakan ayah bila mana setiap kali aku gagal melayakkan diri ke mana-mana Maktab Perguruan. Semuanya amat mendukakan perasaan aku dan sekali gus menghampakan hati ayah.Tapi bukan salah aku. Semua itu adalah qada' dan qadar Allah. Ayah yang kecewa dengan kegagalan itu tetap setia menghantar aku pergi di awal pagi bagi memenuhi tugas seorang GSTT.Terima kasih ayah.....
Namun segala-galanya tersurat kini.Empat hari setelah pulang dari menunaikan fardu haji...ayah menghembuskan nafas terakhirnya.Aku lewat lima minit untuk menatap wajah ayah buat kali terakhir.Namun masih teringat malah terngiang-ngiang akan permintaan ayah buat kali terakhir...
......jagalah emak ye....pesan ayah kepadaku.Dengan wajah sayu...Terimbau semasa ayah mahu berangkat ke tanah suci.
......kalau ada apa-apa yang berlaku pada ayah....tanya dan telefonlah ke alamat ini.....ayah menghulurkan kad. Aku menidakkan kata-kata ayah.Aku anggap itu kata-kata kosong...rupa-rupanya.......
Aku banyak berdosa pada ayah.Aku banyak bersalah pada ayah.Walaupun aku sempat memohon ampun maaf daripada ayah namun aku terasa akan kesakitan kerana amat mengecewakannya.Ayah bukan seorang pendendam.Malah ayah menyatakan yang dia telah memaafkan semua anak-anaknya. Tiada apa yang perlu aku kesalkan.Namun tangisan tetap mengiringi pemergian ayah. Aku pandang wajah emak...adikku Ila dan adik bongsuku E.....masih ada permintaan ayah yang belum ku tunaikan.
Semangatku bagaikan hilang setelah ketiadaan ayah.Di bahuku terpikul tanggungjawab berat.Emak dan adik-adikku.Namun walaupun aku seorang GSTT permintaan itu aku tunaikan jua....
Kini saban tahun tarikh tersebut tetap mekar di ingatan.....perginya seorang wira di hati anak-anakmu.....Ayah...moga Allah mengampunkan segala dosa-dosamu.Moga Allah menempatkanmu di samping mukmin yang beriman.Ampunkan hambamu ini Ya Allah....ampunkan segala dosa-dosaku pada ayah.....Aminnn.


No comments:
Post a Comment