Tuesday, 30 April 2013

BILA RAMADHAN DATANG LAGI


Seperti tahun-tahun yang lampau...bila Ramadhan datang lagi...berbagai perasaan yang singgah di benakku. Terimbau kenangan silam. Terlukis peristiwa pahit manis yang pernah aku lalui dahulu. Tidak kira semasa kanak-kanak..remaja..zaman persekolahan mahupun semasa bersama keluarga tercinta.

Seperti tahun-tahun yang berlalu...bila Ramadhan datang lagi...semacam ada rasa gembira yang wujud menjengah hatiku. Bulan penuh berkat ini perlu diisi dengan segala perbuatan dan amalan yang berlipat ganda demi menambah pahala dan keberkatan daripada ILLAHI.

Sudah enam belas tahun aku menjadi isteri dan ibu kepada anak-anakku. Bermakna sudah selama itu jugalah aku menyambut Ramadhan bersama keluarga yang amat aku sayangi. Demi suami dan anak-anak ...aku tabah menempuhi segala macam dugaan yang datang sepanjang Ramadhan....apa tah lagi setelah ketiadaan ibu dan ibu mertuaku...aku melayari kehidupan berkeluarga tanpa adanya 'ibu'.Namun aku masih bersyukur kerana masih ada lagi ayah mertua yang dapat mengisi dan memenuhi kasih seorang ayah kepada aku...menantunya dan suami serta ipar duaiku.

Aah!....terlalu bahagianya bila mengenangkan Ramadhan yang hadir ketika aku bersama kakak-kakakku ..adik-adikku dan ibu bapaku. Setiap kali Ramadhan tiba..bapa selalu menyediakan segala macam keperluan yang sepatutnya tanpa memikirkan kemampuannya. Ada-ada saja yang disediakannya tanpa ada kekurangan walaupun sedikit. Walaupun kami tidak kaya dan semewah mereka tetapi apa saja keperluan tetap cukup di sepanjang bulan mulia itu.Bapaku memang seorang yang terlalu mengambil berat perihal kewajipannya sebagai ketua keluarga. Beruntung ibuku kerana mempunyai suami yang perihatin sebegitu rupa. Sebut saja...cakap saja apa menu untuk juadah berbuka pasti akan ditunaikan oleh bapa. Cuma bapa tidak mahu juadah itu hasil tangan orang lain kecuali ibuku saja. Di dalam bab-bab masakan dan makanan hanya ibulah saja yang menyediakannya...aku cuma membantu setakat yang boleh. Begitu jugalah dengan ketga-tiga orang kakakku.

Dan saat yang paling menggembirakan ialah pabila sampai waktu untuk berbuka. Kami beramai-ramai menyediakan meja hidangan dengan air minuman..buah-buahan pembuka puasa dan makanan yang pelbagai dan beraneka jenis...emmm lazatnya. Begitulah sepanjang hari ketika Ramadhan datang saban tahun. Dan yang paling tidak dapat aku lupakan ialah bila saat-saat Syawal menghampiri...Kami sekeluarga bergotong royong menyempurnakan persiapan terakhir menjelang Syawal.

Ada yang membersihkan laman...ada yang membersihkan rumah...yang sibuk membuat kuih muih pun ada...segalanya bagai mengikut jadual. Pada hal segala yang dilakukan adalah kerana tanggungjawab masing-masing yang tertanam semasa kecil lagi. Semua itu tidak pernah terencana tapi datang dari diri sendiri. Aah...semua itu kerana bapa selalu mengajar kami erti bersih dan melaksanakannya sepenuh hati.

Kini suasana sebegitu semakin menjauh dan terus menjauh. Tidak boleh terundur walaupun setahun...Yang lalu adalah kenangan yang pernah aku lalui dan tidak mungkin akan berulang semula.

Kini Ramadhan yang datang ...aku sebagai seorang ibu tidak mampu melakanakan apa yang pernah aku lakukan suatu waktu dahulu. Walaupun aku selalu mengutamakan kebersihan kepada anak-anak tetapi anak-anak tidak dapat menyempurnakan sebaik mungkin.

Ramadhan yang hadir dalam masa seminggu saja lagi ini aku harap dapat menginsafi lagi hati kami sekeluarga untuk terus mensyukuri segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kami . Walaupun kami tidak semewah mereka...namun berikan kemewahan hati kami untuk terus menikmati nikmat dan rahmat MU Ya Allah.



1986 DALAM KENANGAN


1986 yang semakin tenggelam
Oleh waktu-waktu
Tersisih pada garis semalam
Indah bahagia duka dan derita
Buat seorang aku
Di puncak hidup jiwa remaja
Ceria megah di singgahsana hati
Senyum tawa buat sebentar
Lalu terkulai layu
Rebah ke bumi tandus
Sekuntum mawar merah
Kering penuh kehampaan
Dari robekan perasaan
Yang musnah sebuah harapan.


1986 yang semakin pergi
Kini bukan lagi dari rentetan silammu
Kerana suria yang terbit hari ini
Adalah milik kebahagiaanku
Suami dan putera-puteriku
Ibarat dedaun hidup
Ada kisah dan dukanya
Ada cinta dan rahsianya
Ada kemungkinan yang nyata.


1986 yang semakin hilang
Tetap di dalam kenangan
Biarpun bibit-bibit rindu
Terus mengharum mekar
Buat suami dan putera puteriku.



LUAHAN RINDU


Subuh meniti pagi
Dalam sepi aku sendiri
Menghitung masa beredar
Yang pasti tidak tertinggal
Dalam pinggir harapan
Selalu terbias dek rindu
Membara bagai menyala
Laksana mentari petang
Pulang ke kamar beradu.

Semakin lama rindu ini
Semakin semarak di dada
Ingat pada zaman anak-anak
Ingat pada usia remaja terindah
Warna warna pelangi
Yang baru tumbuh
Di muka lelangit bumi
Indah dan asyik.

Walau masa begitu pantas
Mengejar usia matang
Hati belum puas
Menatap rindu yang bersepai
Di gigi pantai
Melukis dambaan kasih sayang
Pada bayu pagi yang nyaman
Menusuk dingin ke tubuh.

Aku terjaga dari lena
Yang sekejap
Terusik hati merangkap sepi lara
Rindu pun menggamit
Pada suara sepi di luar jendela
Ingat detik percintaan
Ingat usia perkahwinan
Namun masih terlalai
Biar siang berkunjung tiba
Terdetik hati merindu sayang
Yang belum terbalas 
Hiba dan terisak
Sepi sendirian 
Dalam luahan rindu.


RUMPUN KASIH


Rumpun kasih...
Di kamar begitu indah
Terlalu asyik untuk melagukan
Sebuah irama syahdu
Gemalai jiwa membelai sayang
Dari pelukan kemesraan
Dan himpunan kasih
Seraut wajah seorang suami.....

Rumpun kasih...
Di mahligai impian ku
Ceria dengan tawa anak-anak
Riang berseloka ke sana ke mari
Bagai tidakkan wujudnya malam
Sebagai penamat hari.....

Rumpun kasih...
Di laman ku
Terlalu redup dan tenang
Anggerik menari dipukul sang bayu
Meliuk lentuk indahnya
Harum menusuk ke rongga
Membawa kehangatan kasih
Begitu mekar menyala
Disiram gerimis pagi
Terusik hati di malam berpanjangan
Lalu subur menghiasi mahligai.....


Rumpun kasih...
Suburlah menyirami tasik kesyahduan
Damailah melagukan irama senandung
Agar tidakkan pudar
Buat selama-lamanya
Antara aku..suami dan anak-anak.














ANTARA LAGU DAN KENANGAN


Jeffrydin

lirik Seruling Anak Gembala :

Di lembah sungai nan indah
Terdengar suara memecah
Melayang bunyi seruling
Kala senja hening

Gembala meniup lagu
Berteduh di rumpun bambu
Dengan tak merasa jemu
Menghiburkan rindu

Sawah luas terbentang
Hijau nan mengawan
Jauh pandangan
Di situ tempat permainan

Di situ tempat dilahir
Di mana aku dan dia
Memadu kasih asmara
Akhirnya berpisah

lirik lagu Seruling Anak Gembala Jeffrydin
...................................................................................................................................

Lagu ini byk mengingatkan ku pada nostalgia terindah dalam sejarah kehidupan seorang aku..
1985 ..pada masa tu mmg tgh "demam pop yeh yeh"..
Namun sejarah tak mampu berulang lagi..
Nostalgia tetap membekas di jiwaku..
Nostalgia enggan beralih biarpun tahun berganti tahun..
Masa ini aku bukan lagi seorang gadis..
Yang sering melahirkan puisi demi puisi..
Dari jiwa dan naluri sendiri..
Walau masa telah menjamah sebahagian daripada usia..
Namun kenangan itu tetap hidup,,
Terus membunga dan dalam sepi..
Terkadang masih ada manik-manik air mata..
Yang jatuh berderai..
Bagai melambangkan kenangan terindah..
Yang pernah wujud..
Dan berkamar di hatiku...................................28hb. Mac 2012





KEKHILAFAN YANG MEMBAWA AKIBAT


Tersepit di tengah-tengah antara keterlanjuran kata-kata yang membawa masalah dan rasa serba salah.
Bercakap dari mulut ke mulut itu lebih baik daripada mesej yang membawa padah.

Buntu memikirkan cara terbaik bagi melenturkan keadaan.
Tak berani bersuara dan tak sanggup berada di tengah-tengah kemelut perselisihan.
Mampukah aku atasi semuanya...

Aku sangkakan Ramadhan membawa sinar baru yang malap sebelumnya.
Rupanya Ramadhan yang menjelang tiba membawa lebih kekusutan.

Namun aku pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi ini.
Ya Allah kuatkan imanku bagi melalui saat-saat sebegini.
Semoga cahaya kedamaian akan hadir dan menepis setiap permasalahan yang wujud.

Buat yang mengerti...ampun maaf atas apa yang terjadi.
Ingin terus berhati-hati agar tiada siapa yang akan disakiti lagi.
Namun mampukah aku membendung setiap pergolakan yang hadir tanpa diundang ini?

Mengapa aku dijadikan sandaran bagi meleraikan setiap gelodak hati kalian.
Mengapa aku dijadikan tempat segala keresahan dan masalah yang menjerat hati kalian.
Aku bukan seorang pakar kaunseling atau siapa-siapa.
Aku hanyalah aku...seorang manusia biasa yang kerap leka dan melakukan kekhilafan seperti kalian.

Terlajak perahu boleh diundur
Terlanjur kata begitu buruk padahnya
Mungkin kata-kata yang kurang jelas dan kabur memungkinkan semua ini terjadi.
Tetapi sebenarnya dendam dan gejolak kemarahan kalian yang mencetuskan apa yang berlaku.
Aku antara insan yang berada di tengah-tengah antara kalian berdua..

Terlanjur bicara dalam pesanan ringkas membuatkan kemarahan terpendam marak kembali.
Marak bagai gunung berapi yang memuntahkan laharnya.
Kini aku dijadikan punca persengketaan ini.
Perselisihan yang tidaksepatutnya berlaku antara kita kerana kita adalah.......
Salah asuhan ibu bapakah ....
Atau kasih sayang yang tidak seimbang kita terima daripada mereka.

Aku juga selalu dijadikan tempat untuk kalian melepaskan rasa tidak puas hati.
Mengapa aku selalu menerima nasib yang sebegini.
Alangkah malang nasibku.
Berat mata yang memandang berat lagi bahu ku yang memikulnya.

Aku ingin lepas bebas bagai burung-burung di awangan.
Tanpa menerima tamparan maha hebat daripada kalian.
Aku ingin sebebas camar di laut membiru.Tak sanggup lagi diriku umpama lilin yang selalu membakar dirinya demi orang lain.

Izinkan aku terus pergi dari hidup kalian.
Usaikan lah perselisihan kalian tanpa campur tangan aku.
Semoga Ramadhan ini memberi NUR kepada kalian.
Nur keimanan..Nur keinsafan..Nur kasih bagi kita semua dalam melayari hidup di hujung petang.
Salam Ramadhan salam kedamaian. 





Monday, 29 April 2013

DAERAH INI


 Aku kembali lagi  ke daerah ini
Dengan selaut harapan
Dan sepuncak rindu
Namun aku terpaku seketika
Terpandang sekeliling...
       Daerah ini
      Tidak lagi sedamai kelmarin
      Puluhan pohon kian merimbun
      Semak samun begitu menyesakkan
Daerah ini
Tiada lagi lambaian nyiur
Yang lembut menggamit mesra
Tiada lagi sapaan sepoi
Yang leka menyapu pipi
Tanpa adanya warna-warni
Setaman bunga-bunga kasih
        Aku kambali lagi ke daerah ini
        Bersama seberkas kenangan
        Di mana suatu waktu dahulu
        Sinilah padang permainanku
        Inilah dunia remajaku yang indah
Namun daerah ini
Aku menjadi hiba
Pilu menepuk jiwa
kerana kedatanganku kali ini
Sendirian yang jauh terasing
Tanpa kusedari
Ada manik-manik jernih
Turut menjadi teman menyaksikan
Daerah ini
Yang telah lama kutinggalkan.




PADANG KEHIDUPAN

Ada pada waktu-waktunya
Tiba-tiba hati diburu resah
Dan pada ketikanya pula
Sayu pilu menggamit tiba

Itulah padang kehidupan
Terkadang dalam resah ada nikmat
Yang terasa tanpa kita sedari
Dan dalam sengsara pula
Ada bahagia yang singgah
Walaupun untuk sebentar cuma

Yang pahit itu tidak semestinya
Hamparan duka
Dan yang manis pula
Bukanlah luahan bahagia
Kerana setiap cerita kehidupan
Ada hikmah yang tersembunyi
Disebalik yang tersurat


UNTUK MU SAHABAT


Untuk mu sahabat
Masihkah terselit nama ku
Dari pinggiran hati mu
Masihkah terlukis wajah ku
Di kanvas kenangan mu

Bukankah kita pernah tertawa gembira
Menggapai pelangi mimpi-mimpi terindah
Dan kita sematkan di dada
Bait-bait syahdu
Seloka jiwa remaja
Bersama sekuntum mawar merah

Juga pernah berlagu sayu
Gemersah alunan rindu yang malu
Berbisik di tabir resah
Ingatkah??

Seketika beredar
Lantas kita menangis berdua
Meratap kecintaan yang rapuh

Untuk mu sahabat
Dalam meniti debaran waktu
Kita semakin terpisah

Perasaankah yang merajuk
Atau suratan yang jemu
Mengundang pertemuan
Dalam kepayahan salam bicara

Dahulu kini dan selamanya
Erti persahabatan bagi aku
Umpama sebutir mutiara
Di lautan pasir


Khas Ditujukan Buat Sahabat Sehati Sejiwa:Surya Hafida Binti Bahari




SUATU KEHADIRAN YANG INDAH

Suatu kehadiran umpama awan membiru
menepis tempias resah yang menghujani hati
biar sedetik cuma
selagi terisi oleh bisikan syahdu
seraut luhur seulas murni dan penuh kasih

...Suatu kehadiran yang lewat kelmarin
    indah mesra dilukiskan perasaan
    yang kelabu tandus semalamnya
    kini tebarkan kasih itu
    buangkan degup-degup sepi
    biar seketika cuma
    lantaran kehadiran itu masih jitu
    merawat sayang dikelopak mata

Terima kasih wahai....
suatu kehadiran yang indah
yang terus sudi  lakarkan
melodi gurisan yang kering dulunya
tanpa ragu dan memang pasti
hingga layunya rentetan ini
membekaskan kolam kenangan yang dalam







KATA-KATA


Kadang-kadang menyepi itu lebih baik
daripada bersuara
Menyepi bukan bermaksud
kehilangan kata-kata
Bersuara pula tidak bermakna
bijak berkata-kata

Ucapan yang lahir dari bibir
Ada kalanya amat manis sekali
menjadi halwa telinga yang mendengar
Namun ada masanya
Ungkapan itu penuh sinis
tajam dengan sindiran
terus menusuk jiwa terluka
tanpa kawalan minda

Oleh itu berhati-hatilah
pabila menyusun kata-kata
agar ianya tidak menjadi
Kunci permusuhan
atau dendam kesumat



CERITA TUTA DENGAN ADIKNYA


Sebulan setelah kelahiran si adik
kakak begitu gembira sekali
hari-hari bercerita pasal adiknya
kat sekolah..rumah maupun di mana-mana saja...

Suatu hari si kakak bertanya pada ibunya...
"ibu..bila kak long boleh bermain bersama adik?:
"tunggu le bila adik besar sedikit"
jawapan lembut seorang ibu muda....
Ibu muda selalu menatap wajah kedua-dua anaknya
kasih sayang yang tak terperi
harga kasih cinta buat anak-anak
tiada mampu ternilai dgn wang ringgit.

Hari berganti hari
minggupun bertukar
si kakak masih tak jemu menanti
bilakah si adik boleh bermain bersama
masa terus beredar...
ibu muda dgn tugasnya
tanpa jemu dan bosan
mengasuh anak kecil...
mendidik kakak yg bersekolah
sehinggalah tahun pun beralih

"Tutaa...nak a'en(main)"
jeritan adik memecah keheningan pagi yg ceria
si kakak begitu teruja...
lantas merekapun bermain bersama
karenah adik tetap dilayan kakak
walaupun kekadang kakak menjadi mangsa
ketukan dan pukulan nakal
lagak anak kecil bermain...

"Panggil kak long..."
puas kakak mengajar adiknya bertutur dgn betul
namun si adik tetap memanggil kakaknya....
"TUTAAAAAAA".....

Adik dan tuta
saling sayang menyayangi
ibu muda dan ayah tersenyum memerhati
telatah anak2 yg semakin membesar
dengan kesabaran di hati