Saturday, 4 May 2013

CATATAN BUAT PUTERI BONGSUKU


     Puteri bongsuku...sudah tentu tak lain dan tak bukan adalah Nur Ain Syadzwana. Lahir hampir dua belas tahun lalu. Lebih dikenali sebagai Baby. Wataknya yang amat manja kekadang menimbulkan rasa cemburu dan iri hati kedua-dua kakak dan abang kembarnya. Namun aku tahu jauh di sudut hati mereka tetap menyayangi satu-satunya adik bongsu mereka.

     Katalah apa saja.. Baby tetap dengan caranya. Keletahnya kadang-kadang amat menghiburkan. Ada ketikanya pula terasa rimas kalau Baby mula bercerita. Semenjak kecil lagi Baby suka bercakap. Bercakap apa saja. Kalau dapat ketawa...tenggelamlah suara orang yang berbicara. Walaupun begitu..Babay tetap anak manjaku. Sayangku pada Baby tidak berbelah bahagi. Begitu juga kakak dan abangnya. Jikalau Baby tidak sihat..kakaklah yang menjadi 'jururawat'nya. Diberinya ubat untuk ditelan,dirasanya suhu badan jika panasnya berlarutan...malah segalanya dilakukan tanpa disuruh. Alhamdulillah.....

     Lagaknya yang suka bergaya selalu mencuri perhatianku. Kadang-kadang di hadapan cermin ,Baby suka menari yang selalu membuatku tersenyum sendirian. Mungkin masih kanak-kanak jadi dunia imaginasi Baby terlalu menyerlah. Tidakpun aku hiraukan kerana sudah sememangnya begitu resam anak-anak. Cuma ada masanya gelagatnya agak keterlaluan hingga menimbulkan rasa kurang senang di hati kakak dan abangnya. Pabila bergaduh....aduh kadang-kadang pening kepala aku dibuatnya. Namun selalu berakhir dengan kemaafan.

     Walaupun usia Baby sudah menjangkau dua belas tahun tetapi di waktu tidurnya ...aku senang sekali menatap wajahnya. Sesekali ciuman sayangku melekat di pipinya. Walaupun suamiku selalu kurang senang dengan perbuatanku namun tidak kuhiraukan. Kasih sayangku tidak berbelah bahagi kepada semua anak-anak....kasih seorang emak yang melahirkan.

     Jauh di lubuk hatiku tetap mengharapkan kejayaan Baby di dalam pelajaran. Walaupun Baby agak bijak..tapi sikapnya yang terlebih manja membuatkannya menjadi sedikit malas mengulangkaji. Entahlah....mungkin pabila remaja menghampiri..barulah sikapnya berubah. Wallahualam.....

     Sayang anakku....
Segala pesanan jangan dilupa. Berbaik pakatlah kalian tiga beradik. Jangan ada cemburu menjadi raja yang bertakhta di hati .... Berkasih sayanglah sesama adik beradik. Pegangan agama dilupa jangan. Berusahalah sehingga berjaya. Semoga anak-anakku berjaya di dalam pelajaran...hidup...dan segalanya. Dunia akhirat sematkan di hati...moga hidup lebih diberkati....

 

No comments:

Post a Comment