Saturday, 4 May 2013

BICARA HATI


Desir angin pagi yang lembut sesekali menepis memoriku buat kawan-kawan yang pernah aku kenali suatu waktu dahulu. Suatu waktu yang bernama alam persekolahan. Tidak mudah memori itu akan padam kerana selalu tempias resah menjamah minda dan rinduku.

Mungkin di dalam kejauhan ini aku lebih senang menghitung rindu daripada merungkaikannya dengan pertemuan yang bisa meragut ketenanganku. Aku sedar hidup kita terlalu jauh berbeza. Ada jurang yang menghalang pertemuan demi pertemuan yang sering kalian aturkan itu. Ahh...betapa indah dan cerianya kalian apa bila bertemu antara satu sama lain. Boleh bercerita apa saja...pasal kerjaya..pasal kejayaan..pasal rumah besar..pasal kereta berjenama yang diimport daripada luar negara waima pasal anak-anak sekalipun.

Namun kalian tidak sedar mungkin disebalik cerita -cerita kalian itu pasti sedikit sebanyak akan membuat jiwaku luluh. Sudah aku bilang dari dulu lagi antara aku dengan kalian bagai bumi dengan langit.Tidak pernah aku meminta semua ini akan aku alami selama ini. Aku cukup bahagia dengan kehidupan aku sekarang. Tapi kebahagiaan aku seringkali tergugat dengan cerita-cerita kalian yang seolah-olah menunjuk kehebatan masing-masing. Jadi tidak guna aku bersandiwara dengan hipokrit semata-mata. Apa lagi ingin menjadi bahan ketawa atau simpati kalian ... tidak juga aku sanggup diri dan keluargaku menjadi topik perbualan yang berunsur sinis. Itu semua tidak akan berlaku..kata seorang rakan kepadaku. Mungkin tidak tetapi mungkin pasti berlaku. Sedari awal aku menjangkakan ianya berlaku kerana aku juga pernah mengenali kalian dahulu.

Ada antara kalian amat baik dan jujur denganku.Namun tidak terkecuali ada juga antara kalian yang selalu mempersendakan aku dahulu. Seingat aku itu adalah realiti dan bukan omongan kosong belaka. Jadi aku kira adalah lebih baik aku begini sahaja.

Menyepi bukan kerana aku sombong. Membatu diri bukan pula bererti aku ingin mengasingkan diri. Cuma biarlah aku berbicara dengan kalian melalui FB saja. Tanpa pertemuan yang bisa mencetuskan kehibaan di hati. Walaupun kerinduan aku terlalu menggunung kepada kalian. Namun biarlah.......aku tetap aku yang suatu waktu dahulu pernah mengisi keakraban kita bersama. Sayang...semuanya tidak mungkin akan sama seperti dahulu.

Ketiadaan aku nanti tidak mungkin akan mencacatkan reunion kalian. Kalian pasti gembira dan bahagia sangat pada pertemuan itu nanti tanpa menyedari bahawa aku sentiasa bersama kalian dari jauh....



No comments:

Post a Comment