Saturday, 4 May 2013

BICARA HATI


Desir angin pagi yang lembut sesekali menepis memoriku buat kawan-kawan yang pernah aku kenali suatu waktu dahulu. Suatu waktu yang bernama alam persekolahan. Tidak mudah memori itu akan padam kerana selalu tempias resah menjamah minda dan rinduku.

Mungkin di dalam kejauhan ini aku lebih senang menghitung rindu daripada merungkaikannya dengan pertemuan yang bisa meragut ketenanganku. Aku sedar hidup kita terlalu jauh berbeza. Ada jurang yang menghalang pertemuan demi pertemuan yang sering kalian aturkan itu. Ahh...betapa indah dan cerianya kalian apa bila bertemu antara satu sama lain. Boleh bercerita apa saja...pasal kerjaya..pasal kejayaan..pasal rumah besar..pasal kereta berjenama yang diimport daripada luar negara waima pasal anak-anak sekalipun.

Namun kalian tidak sedar mungkin disebalik cerita -cerita kalian itu pasti sedikit sebanyak akan membuat jiwaku luluh. Sudah aku bilang dari dulu lagi antara aku dengan kalian bagai bumi dengan langit.Tidak pernah aku meminta semua ini akan aku alami selama ini. Aku cukup bahagia dengan kehidupan aku sekarang. Tapi kebahagiaan aku seringkali tergugat dengan cerita-cerita kalian yang seolah-olah menunjuk kehebatan masing-masing. Jadi tidak guna aku bersandiwara dengan hipokrit semata-mata. Apa lagi ingin menjadi bahan ketawa atau simpati kalian ... tidak juga aku sanggup diri dan keluargaku menjadi topik perbualan yang berunsur sinis. Itu semua tidak akan berlaku..kata seorang rakan kepadaku. Mungkin tidak tetapi mungkin pasti berlaku. Sedari awal aku menjangkakan ianya berlaku kerana aku juga pernah mengenali kalian dahulu.

Ada antara kalian amat baik dan jujur denganku.Namun tidak terkecuali ada juga antara kalian yang selalu mempersendakan aku dahulu. Seingat aku itu adalah realiti dan bukan omongan kosong belaka. Jadi aku kira adalah lebih baik aku begini sahaja.

Menyepi bukan kerana aku sombong. Membatu diri bukan pula bererti aku ingin mengasingkan diri. Cuma biarlah aku berbicara dengan kalian melalui FB saja. Tanpa pertemuan yang bisa mencetuskan kehibaan di hati. Walaupun kerinduan aku terlalu menggunung kepada kalian. Namun biarlah.......aku tetap aku yang suatu waktu dahulu pernah mengisi keakraban kita bersama. Sayang...semuanya tidak mungkin akan sama seperti dahulu.

Ketiadaan aku nanti tidak mungkin akan mencacatkan reunion kalian. Kalian pasti gembira dan bahagia sangat pada pertemuan itu nanti tanpa menyedari bahawa aku sentiasa bersama kalian dari jauh....



RANTAIAN RINDU DAN HARAPAN (2)


Hari ini tidak seindah semalam.....
Esok belum tahu jalan ceritanya.....
Namun berbekalkan harapan.....
Esok tetap ku nantikan kehadirannya.....
Mungkin rindu ini akan terlerai satu persatu....?
MUNGKIN.........

Dalam hatiku hanya ada sebutir hasrat.Sebutir hasrat yang saban tahun semakin membesar bersama harapan padu.Ingin ku lontarkan jauh-jauh akan segala pertelingkahan selama ini....biar degup-degup rindu membisik di angin lalu dan menyampaikan hasrat ku ini.

Kalau dahulu sewaktu kita masing-masing belum berkeluarga...masing-masing mengulit mimpi yang indah-indah.....hubungan antara kita agak mesra dan bahagia.Waktu makan , kita mesti makan bersama-sama.Juadah yang tidak sesedap mana menjadi begitu lazat sekali.Ayah dan mak selalu bercerita dan kita sebagai anak sering mendengar  dengan teliti.Kalau cerita itu agak lucu...kita akan ketawa dengan gembira.Begitulah sebaliknya.Ada seorang rakan baikku pernah menyatakan betapa suka hatinya mendengar riuhnya ketawa kita jika keriangan.Keluarga contoh...bisiknya padaku.Waktu itu aku masih belasan tahun.Tetapi itu cuma dahulu....puluhan tahun yang berlalu.

Setelah ayah tiada...aku masih disogokkan dengan kata-kata perangsang daripada mereka...kakak-kakakku.Namun kata-kata perangsang yang kosong tiada bermakna apa-apa...

~...jangan risau acik...kami akan bantu seberapa yang boleh...~
Begitu luhur ucapan yang diberikan oleh kakak-kakakku.Namun tanpa mereka sedari kata-kata itu terlalu membekas di hatiku.Sayang seribu kali sayang...kata-kata atau ucapan itu semuanya umpama manis di mulut.Di saat aku ketewasan di dalam realiti kehidupan sebenar...tiada siapapun yang sudi meratah sama kedukaanku.Aku lalui kehidupan perit berliku dengan penuh ketabahan.Syukur masih ada mak dan dua orang adik yang sering menggembirakan aku.

Siang brganti malam.....begitulah seterusnya....sehingga aku dan adik perempuanku mempunyai keluarga.Kenangan silam di zaman anak-anak dan remaja kerap singgah menghiasi alam mimpiku.

Aku kira dan sememangnya begitu....setelah mak pergi..hubungan kami semakin menjarak.Renggang.Bagai tiada jalan penyelesaian.....Tiada sengketa tetapi kenapa ada dendam yang tertanam di lubuk hati.Bagai ada tabir yang menutupi kemesraan kami.Entah di mana silapnya...aku tidak mengerti sama sekali.

Ingin kugapai impian semalam namun tidak kesampaian.Kita semakin jauh terpisah...dalam sendu dan air mata cuma ada setitis harapan....semurni embun di pagi hari.Harapanku moga ikatan antara kita kembali bertaut bagai dahulu.Kemesraan luhur antara kita kembali bersemi.Kasih sayang yang pudar aku harapkan dapat disirami dengan titisan embun di kelopak mawar yang mekar.Hidupkan semula kenangan indah antara kita ...adik beradik kandung.

Buangkan sekelumit dendam di jiwa.Singkirkan perasaan irihati yang beraja di hati.Lontarkan segala cerita pahit yang tidak patut kita selongkarkan.

Imbangkan semula kasih sayang yang hilang di celah-celah usia yang matang.Aku ingin merasakan kenikmatan kekeluargaan kita bagai kelmarin....Harapan...aku menggunung harapan yang jitu...
Semoga segala harapanku akan kesampaian sebelum kita di 'panggil' nanti....Semoga harapan akan tertunai sebelum kita kembali ke tempat kita dijadikan.



RANTAIAN RINDU DAN HARAPAN


Masih terdengar-dengar ungkapan yang pernah adik ceritakan padaku dahulu.Hampir lapan tahun ianya berlalu pergi...namun sesekali aku terasa seolah semalam ianya berlaku.Hujan yang turun berderai membasahi bumi ini terasa seolah angin yang berdesir keras.Aku biarkan tempias singgah ke muka....seolah tangan mak yang pernah mengusap ke pipiku dahulu.

.....panggil le acik balik.....
.....mak teringin nak makan gulai masam yang acik buat.....
Terpempan aku seketika.Tidak menduga selama ini...bahawa itulah permintaan terakhir mak.Betul ke....seolah permintaan itu tak pernah aku duga selama ini.Aku tidak sehebat mana memasak tetapi tanpa kuduga itulah satu-satunya permintaan yang mak lafazkan kali terakhir kepada adik bongsuku.Entah di mana silapnya..permintaan itu baru diperdengarkan kepadaku selang beberapa minggu mak pergi meninggalkan kami.Pergi menyahut panggilan Ilahi.Aku terkedu saat itu.Lama.Tak terucap pada kata-kata.

Sesekali aku bertanya dalam diri...mampukah aku lakukan permintaan itu sedangkan suami tidak begitu mengharapkan aku pulang ke kampung tika itu.Apatah lagi anak-anak yang sedang bersekolah.Ianya menjadi satu permintaan yang mudah namun tidak mampu tertunai.Aku dapat merasakannya...bukan salah siapa-siapa.Cuma Allah mengaturkan sedemikian demi mengelakkan daripada sesuatu yang tidak patut berlaku.Aku biarkan ianya sepi tanpa menyatakan pada sesiapa.Cuma setelah anak-anak semakin membesar barulah aku luahkan apa yang terbuku di hati.

Namun demi kasih sayang kepada suami...biarlah aku pendam segalanya.Aku tidak mahu ianya menjadi kudis di hati aku mahupun suami.Dalam agama sekalipun melarang seorang isteri melangkahkan kaki ke luar tanpa kerelaan si suami.Apatah lagi jika saat itu ibu atau ayah isteri tersebut sedang nazak.

Ya Allah....aku tahu aku telah berdosa kepada mereka yang melahir dan membesarkanku.Tapi aku hanya insan biasa ...hanya seorang isteri yang tidak mampu berbuat apa-apa.Aku pandang ke muka anak-anakku....terasa seolah-olah mereka pun akan melakukan sedemikian terhadapku nanti.Balasan Tuhan akan cepat berlaku.Wallahualam.......

Pada 1 hb.Oktober 2003...mak meninggalkan kami semua.Tangisan demi tangisan yang ada sekadar melepaskan apa yang terbuku di hati..Tidak dapat meredakan rasa terkilan yang masih membara ini.
Ampunkan aku ...mak...Ampunkan segala kekhilafan aku ini.

Kini segala yang hadir selalu mengingatkan aku pada mak dan kenangannya.Dalam nafasku cuma ada ingatan luhur buat mak.Dalam nostalgiaku hanya ada rantaian rindu yang belum terungkai lagi.Semuanya masih segar dalam ingatan.Mak.....tanpamu tiadalah aku di dunia ini....Tanpamu aku bukan siapa-siapa.

Mak.....mak lah ratu dihati kami semua.Moga mak beroleh keredhaan Ilahi dan di tempatkan di sisi mereka yang beriman.Amin.



SEPI MENGAJAR KU ERTI RINDU


   SEPI kadang-kadang menyapaku. Aku menjadi resah dalam suasana sepi yang begitu menghimpit rongga nafasku. Hati selalu jadi tidak keruan. Dan ada waktunya secebis demi secebis memori lama datang menjadi tamu minda ku. Walaupun puas ku biarkan begitu namun tempias sepi sering degil mengundurkan diri. Lalu jadilah aku seorang perindu. Perindu nostalgia dalam album kenanganku.


     SURYA HAFIDA BAHARI adalah satu nama yang dulunya hidup di hatiku sebagai seorang sahabat. Pada perkenalan yang singkat kita begitu mesra mengukir dunia remaja yang terlalu indah untuk dilalui oleh setiap insan. Suka duka hidup remaja telah kita lalui bersama. Bersama sepoi pagi yang dingin segar meniup lembut ke muka lalu menyamankan. Hati kita selalu dihiasi taman mewangi. Semakin kita rancak menimba ilmu semakin berkembang mawar merah di taman hati. Namun kita tidak pernah gentar menghadapi itu semua. Baja-baja kasih semakin meranum bersama hebatnya kita menelaah pelajaran.


     Hampir dua tahun kita berkenal mesra...tiada sekelumit perasaan marah atau dendan dalam jiwa kita. Kita ikhlas menjalinkan persahabatan yang suci sesuci mawar putih yang dibasahi embun. Begitulah kita....embun-embun keikhlasan menyirami hati dan budi. Aku sayang padamu sahabat.


     Namun kehendak takdir tiada siapa yang tahu. Berakhirnya episod mesra bersama hilangnya taman kasih di jiwa kita. Kita seiring melangkah mengharungi lautan jiwa remaja yang asyik.....kita juga seiring kecundang di pertengahan jalan kenangan. Jangan dikutip kelopak mawar merah yang gugur satu persatu itu....ia akan lenyap dibawa alunan angin petang yang bertiup kuat. Hilangnya kelopak mawar itu bermaksud perginya jalan kenangan yang tidak mungkin berulang semula.


     Sayang.....sepi ini memanggil aku untuk terus mencari di mana bayang-bayangmu..sahabat. Ingin ku kutip rindu lalu kugubah menjadi karangan bunga dan akan ku hadiahkan buatmu. Tanpa ku sedari masa dan jarak telah memisahkan kita. Tanpa ku duga kejayaan telah mengaburi keikhlasanmu. Lalu aku terbiar sendiri mencari dan mengutip sisa kasih dan rindu yang menjalinkan ikatan persahabatan kita.....


     SEPI terus mengajar aku merinduimu.


     Kini kita masing-masing sudah mempunyai keluarga. Kita masing-masing sibuk dengan anak-anak yang semakin meningkat remaja seperti kita dahulu...Apa khabarmu di sana sahabat? Selalu persoalanku terbuang begitu sahaja tanpa apa-apa jawapan. Menyepinya dikau sering menimbulkan sejuta pertanyaan yang penuh kesamaran....Pun tanpa jawapan. 


     BIARLAH...biarlah begini andai itu lebih membahagiakanmu. Biarlah begini andai ianya membuatkan kebahagiaanmu semakin melingkari kehidupan kekeluargaanmu. Siapalah aku...cuma seorang kawan lama...sahabat lama yang jauh dari segala-gala yang telah engkau miliki seperti hari ini. Kejayaan mu dan kemewahan kekadang akan membuatkan seseorang itu lupa pada asal usul apatah lagi nostalgia yang pernah dilewati bersama. Moga sahabat......satu hati kerinduanku ini pasti terjawab akhirnya.InsyaAllah......


     SEPI yang hadir biarkan datang bersama rindu. Bagiku dalan sepi ada rindu. Dalam rindu ada kebahagiaan yang tanpa kita sedari kehadirannya. Selongkar cerita kita menghidupkan nostalgiaku buat mu...sahabat.


     Biarlah tirai catatan kuakhiri dengan doa moga engkau dan aku bisa bertemu bagai dulu...bisa bercerita umpama kelmarin....bisa bermesra persis alam remaja.Sayangku tetap tak akan pudar biarpun namaku telah hilang dalam mindamu.




DAHULU DAN SEKARANG


Dahulu aku masih begini...
mengutip sisa-sisa kenangan
lalu ku gubah menjadi puisi
menjadi dendangan dan hiburan hati
biarpun digigit kesedihan
mahupun ditemani kemesraan
tetap alunannya sama
lunak mendayu dan amat mempersonakan.

Dahulu aku sentiasa begini
senyum tawa bagai kelmarin
tiada nada bongkak dalam kamus hidupku
tiada rasa riak mahupun mendewakan diri
masih setia melangkah di gigi pantai
bermandikan air sumur di ladang
leka melihat anak-anak bermain layang-layang
di langit kulihat ianya berlegar
aku asyik dan tenang begini.

Sekarang aku masih seperti dahulu
biarpun iramanya lebih perlahan
namun liriknya tetap seiring
masih sudi melayani cerita-cerita mereka
masih mampu memberi pendapat
jua tetap menyuakan nasihat
tetap serupa bagai dahulu.

Sekarang aku tetap macam dahulu
selangkah aku ke hadapan
sering kali aku menoleh ke belakang
tidak mampu mendongak ke atas
dengan lagak meninggi diri
di hati ku masih merumpun memori rindu
segar berbunga dengan cinta kelmarin.

Dahulu dan sekarang
aku tetap aku
tiadakan berubah
walaupun seinci jarak.



ADIK KU SAYANG


Misla Jamilah ... begitulah nama yang ayahku beri padanya. Setelah dilahirkan kira-kira tiga puluh lima tahun yang lepas...aku amat menyayanginya. Setahu aku..ketika ayah memberitahu kami empat beradik yang merupakan kakak-kakaknya, aku seolah tidak suka mempunyai adik perempuan. Aku pernah mencebik setelah mengetahui emak melahirkan anak perempuan juga. Mana aku tahu erti suka atau sebaliknya..cuma emak dan ayah yang berharap sangat mendapatkan anak lelaki membuatkan aku menjadi begitu.


Kini aku bersyukur kerana dialah adik yang amat memahami rentak hatiku. Adik...gelaran yang emak beri masih melekat hingga ke hari ini. Walaupun kami memanggilnya dengan nama tapi dia tetap membahasakan dirinya dengan gelaran itu. Sudah sinonim dengannya....


Semasa kecilnya...semasa baru mengenal dunia ... aku sering menjaganya. kebetulan waktu itu aku bersekolah pada sesi petang jadi emak meletakkan harapan untuk aku menjaganya ketika emak sibuk dengan kain basuhan mahupun memasak makanan. Akulah yang mendodoikannya hingga tidur di dalam buaian. Ada masanya aku membawanya ke hulu ke hilir di dalam kereta sorong di waktu pagi.Inilah yang menjadikan aku hampir dengannya.Rapat dengannya. Walaupun emak ayah selalu memanjakannya tetapi aku jarang merasa iri hati. Bukan aku memuji diri tetapi itulah hakikat yang sebenarnya.


Begitulah seterusnya sehingga 'adik' melangkah ke alam persekolahan. Sedari kecil 'adik' sudah comel....apatah lagi bila semakin membesar 'adik' menjadi bertambah comel. Sewaktu adik bersekolah...akulah yang menjadi 'gurunya' . Comel 'adik' ku comel tapi malas pulak mengulangkaji.Jadi ayah menyuruh aku membantunya menyiapkan kerja-kerja sekolah yang gagal dilakukannya seorang diri.


Tetapi itu dahulu...sewaktu kecilnya...kini pabila dewasa....adik lebih bijak daripadaku dalam soal-soal pengetahuan termasuklah IT. Lumrah hidup...kalau dulu adik selalu mengajukan soalan padaku namun kini adalah sebaliknya......


Remaja adik adalah singkat kerana jodoh adik terlalu cepat menghampirinya....Alhamdulillah...adik dijodohkan dengan pilihan hatinya. Pada tanggal 16hb Jun 1996...mereka diijab kabulkan. Kini kebahagiaan melingkari kehidupan mereka seadanya. Dengan puteri seramai dua orang...adik dan suaminya terus mengecap nikmat kebahagiaan hidup berkeluarga. Aku tetap bangga mempunyai adik sepertinya. Aku amat sayang pada adik sekeluarga. Masa dan keadaan jarang mempertemukan kami namun kami tetap erat seperti masa kanak-kanak dahulu. Aku tetap sayang padamu...ADIK.


HADIAH DARI ACIK SEMPENA ULANGTAHUN PERKAHWINAN KALIAN.......



Friday, 3 May 2013

DOA

♥ Bismillahirrahmaanirrahim ♥

Ya Allah.....
Ya Allah.....
Ya Allah.....

Andai hamba - hamba Mu melakukan kesilapan....
Ampunkanlah......
Andai ada antara kami yang berburuk sangka......
Lenyapkanlah......
Andai ada perselisihan antara kami......
Leraikanlah........
Daku ingin tenang dan bahagia......
Menyambut salam ukhwah sesama rakan taulan.....
Daku ingin damai dan dijauhkan daripada kemelut ....
Yang mampu melenyapkan ukhwah terindah ini.....

Ya Allah.....
Ketemukan kemesraan dan kasih sayang antara kami semua....
Tiada dendam....tiada cemburu.....tiada sakit hati......

Jika ada permusuhan antara kami...
Damaikanlah...
Tanamkan benih-benih kasih yang luhur lagi ikhlas...
Supaya ukhwah tambah erat....

Ya Allah.....
Berilah kesihatan yang baik kepada sahabat-sahabat ku ....
Tak kira walau di mana mereka berada.....
Limpahkan rahmat dan kebahagiaan kepada sahabat-sahabat ku......
Sesungguhnya...nilai sebuah ukhwah itu....
Tiada termampu ku luahkan dengan kata-kata....
Terimalah doa hamba Mu ini Ya Allah.....
Aamiin...aamiin...ya Rabbal alamiin.....