Sunday, 21 April 2013

Takdir Untuk Kita


Begitu akhirnya takdir 
yang tersurat untuk kita
kita semakin jauh dan terasing...

Kadang-kadang terasa kehangatan
dan rindupun mengajar aku
untuk terus mengingati mu.

Tanpa terduga
hari ini kita bertemu semula
berbicara lagi
ada nada-nada mesra
dalam kata-kata
dan bicara sepi kita
biarpun kenyataan diri
tenggelam dalam kepayahan.

Takdir kini menjadikan
antara kita sepasang sahabat
yang luhur tanpa dendam
tiada lagi khianat
juga deraian si air mata.

Takdir mempertemukan kita
di hujung usia
selamat berbahagia 
wahai sahabat.

Terima kasih ALLAH
kerana takdir MU
begitu indah 
yang telah ku kecapi 
pada hari ini.




Biarkan Kenangan Itu Berlalu Pergi


Biarkan kenangan itu berlalu pergi.....
usah ditangisi kelukaan semalam
perginya bersama cinta nan rapuh
mudah terkulai dek arus masa.....

Biarkan kenangan itu berlalu pergi.....
usah ditanya kenapa dan mengapa
biarkan ianya lenyap ditelan keadaan
lalu balutkanlah hatimu yang robek
terkoyak dengan kepalsuan
janji penuh bermadu
di bibir mulut namun di hati beracun.....

Biarkan kenangan itu berlalu pergi.....
pergi beserta hembusan dingin tak bermakna
pergi bersama gelora jiwa terluka
usah dipinta kembali bertaut
usah dirayu kembali bersemi
kerana yang patah kan tumbuh
yang hilang kan berganti
walau tak seindah dan serupa
tapi lebih bererti dan bermakna
pada hati..jiwa dan terbukti 
setia dalam janji.



KISAH SEORANG IBU TUA


Petang itu seperti petang-petang kelmarin....seorang ibu tua sedang tegar menunggu di muka pintu.Sesekali mata tuanya memandang sekilas ke laman yang sepi sesepi hatinya itu.Redup kelopak matanya menahan kerinduan pada anak-anak yang tak kunjung datang.Sesekali matanya melihat jam di dinding seolah-olah tidak bergerak itu.Kasihan nasib ibu tua itu.Terbiar meratap kerinduan yang tak kunjung padam pada anak-anaknya yang ramai itu.Tanpa disedari air mata menitis perlahan ke pipi tua yang berkedut seribu.Ingin diluahkan perasaan hati namun pada siapa....

  Sering terimbau diingatannya suatu waktu dahulu.Bingit suasana rumahnya dengan hilai tawa anak-anak dan cucu-cucu yang ramai itu.Dahulu ramai anak-anaknya kerap pulang menjenguknya.Setiap kali kepulangan mereka pasti rumah yang tersergam itu bagaikan mengadakan kenduri.Riuh bingit namun amat menyeronokkannya.Apa tah lagi bila Aidil Fitri menggamit tiba....suasana begitu membahagiakan.Ibu tua bangga kerana semua anak-anak dan cucu-cucunya berjaya dalam hidup.Berjaya dalam kerjaya masing-masing.Walaupun arwah suaminya sudah lama pergi namun kesunyian seolah tak pernah wujud dalam kamus hidupnya.Setiap minggu ada saja anak-anak yang datang.Betapa bahagia dan bangga rasanya.

   Namun kenapa sejak akhir-akhir ini nasibnya sedemikian rupa.Di saat usia tuanya dan ditambah keadaan kesihatan yang selalu uzur dan tidak berdaya....tiada seorang pun yang sudi menjenguknya.Namun ibu tua masih bersyukur kerana masih ada anak menantu yang pernah dibenci dan disakitinya sanggup menjaga makan pakai...malahan merawat kesihatannya yang semakin hari semakin uzur itu.Allah jua yang menunjukkan segala hikmahNya pada hari ini.Ya Allah....ampunkan hambamu ini...selalu doa kudus itu yang dipohon olehnya....

   Matanya yang semakin kabur dek usia yang semakin lanjut dilemparkan ke laman lagi.Mana tahu kalau-kalau ada salah seorang anak-anaknya yang balik menziarahinya.

   "Mak...masukle ke dalam...hari dah senja.."suara tenang menantu memecah kesunyiannya.Matanya menatap wajah menantu yang begitu banyak berkorban untuknya.Di gagahnya untuk berdiri namun tidak berkemampuan.Menantu memapahnya perlahan-lahan.Di matanya yang layu terukir senyum kasih buat sang menantu biarpun hatinya masih berpaut pada kerinduan.Kerinduan yang entah bila akan terlerai......Kasihan nasib si ibu tua .

~~~selingkar kisah seraut perasaan~~~


Gambar: Mai

Gambar: Mai

Redup Matamu


Redup matamu
menyapa ke luar jendela
penuh harapanmu
tersemat di jiwa...

Di Syawal yang indah ini
kosong bagimu
sepinya hati
tiada siapa ambil peduli...

Di seberang jalan
jiran tetangga sibuk bertandang
saling bermaaf-maafan
dan senyuman bersulam ketawa
mesra bersama sanak saudara...

Redup matamu
sekilas mula berkaca
merenung kehampaan
mengenang nasib diri
tiada anak-anak
tiada siapa-siapa
hanya seorang ibu tua
di kamar kusam cahaya.



PUISI BUAT SEORANG SUAMI sempena 17 hb Mac saban tahun


Suami
Dari sisa kenangan semalam
Dan rantaian nostalgia silam
Kau kutip cintaku
Lalu kau gubah ia
Menjadi jambangan kasih
Mekar megah menghiasi piala hati
Menyirami embun mesra
Kudus penuh suci
Di kamar mahligai impian
Bersama mawar kesyahduan
Indah dan mengasyikkan
Si persada hidup
Seorang aku

Suami
Ku raut seungkap terima kasih
Bersulam selaut sayang
Berpantaikan seluas cinta
Yang tiada berpenghujung
Dengan titisan kasih mesra
Bermandikan embun kejujuran
Agar tiada terungkai
Ikatan suci yang terbina
Milik kita bersama


Mencari Nur


Terus tercari-cari dalam diri dan hati
Setitis Nur...
Mampukah aku berdiri
Seiring doa
Bermunajat kepadaMu Ya Allah.

Dalam kelmarin aku tersungkur
Demi kekhilafan dan kealpaan
Meneguk dambaan dosa
Hina mengutuk diri
Rakus dan lalai
Menjerat hati.

Di mana Nur...
Hilang di tabir kesiangan...
Tak ingin mengetuk pintu neraka
Tak mampu terumbang ambing
Sengsara dalam gelap waktu
Yang masih tersisa.

Terbangun aku mencari Nur
Yang hadir bersama gema azan
Indah menusuk meruntun jiwa
Di situkah Nur...?
Tercari-cari di dalam kelam sunyi.

Ya Allah Ya Tuhanku..Ya Allah Yang Maha pengasih dan Pengampun
Bukakan hijap Nur Mu
Pada hamba yang kerdil di sisi Mu
Sujud pada ketentuan Mu
Pasrah pada qada' dan qadar Mu.

Berikan hidayah Mu
Suluhkan taufiq Mu
Buat pedoman hayat
Sesuci embun yang jernih kudus
Terangi dadaku dengan
Nur Mu Ya Allah
Bekalan ke Jannah Firdaus. 



Gurisan


Allah yg menerbitkan kasih dan sayang..
Rindu dan cinta pada hati setiap hambanya..
Tanpa dipinta dan tanpa dambaan..
Salahkah hati ini jika terus merinduimu seikhlasnya..
Kerana rindu ini selalu memburumu..
Namun kau lari dan terus berlari

..
Tanpa menoleh ke arahku walaupun sekali..
Puas ku kejari langkah pantasmu..
Mencari bayang2mu yg hilang..
Namun tidak kutemui..
Lantas aku lelah sendiri..
Ya Allah jika ini bukan jalanku..
Berikan daku jalan yg penuh..
KenikmatanMU..dan penuh keberkatanMU